jaga lutut anda

Posted by under

Lutut lemah petanda cedera

Mungkin disebabkan koyakan ligamen, perlukan rawatan segera

KECEDERAAN pada ligamen anterior krusiat (ACL) memang perkara biasa dialami kebanyakan orang dan aktiviti sukan terbukti antara penyumbang utama kepada kecederaan ini.

Selalunya ia ditandai dengan bunyi 'pop' dan diikuti lutut yang membengkak. Bagaimanapun, tanpa rawatan anda masih boleh berjalan dan mengerjakan solat. Cuma, lutut akan sering sakit, berbunyi dan kadang kala seakan 'tersangkut.'


Sebenarnya, bukan semua kecederaan pada ACL memerlukan pembedahan. Ia banyak bergantung kepada keutamaan pesakit itu sendiri.


Misalnya, jika anda seorang ahli sukan profesional, kecederaan ACL memerlukan pembedahan segera. Bagaimanapun, jika anda hanya bersukan sekadar untuk mengisi masa dan masih boleh berjalan, berlari anak dan mengerjakan solat selepas kecederaan ACL, pembedahan bukanlah satu keutamaan. Malah bagi pesakit bukan ahli sukan profesional, ada cara lain menguruskan kecederaan ACL.

Menguruskan kecederaan ACL tanpa pembedahan juga boleh dilakukan.

1) Jika seseorang itu mengalami sedikit koyakan ligamen tanpa simptom yang menunjukkan lutut tidak stabil.

2) Koyakan yang banyak tetapi tiada simptom ketidakstabilan lutut ketika aktiviti sukan ringan.

3) Kanak-kanak yang masih dalam proses pembesaran .

Pakar bedah ortopedik dan trauma, Hospital Pantai Ampang, Dr Ezlan Merican, berkata, secara umumnya, ketiadaan ligamen ACL akan menyebabkan lutut sering terpelecuk kerana tidak stabil.

Ada kala jika kecederaan itu serius (seperti mengganggu pergerakan ketika solat) ia akan membawa kepada kehausan dan kerosakan selaput rawan atau mungkin koyakan pada struktur meniskus. Kerosakan yang lebih teruk membawa kepada situasi separa kecemasan seperti lutut 'terkunci' (lock knee). Semua keadaan ini, bagaimanapun memerlukan pembedahan.

Dr Ezlan berkata, sebaik saja mengalami kecederaan ACL, rawatan terawal ialah merehatkan sendi, kemudian letak ais bagi mengurangkan sakit dan bengkak. Lutut yang cedera dibalut dan kaki diluruskan tetapi jangan diletakkan di paras lantai. Kemudian, bawa pesakit berjumpa doktor untuk rawatan terperinci.

"Jika kecederaan tidak serius dan pembedahan bukanlah pilihan utama, rawatan fisioterapi yang intensif membantu mengurangkan bengkak. Ia juga membantu mengekalkan kekuatan otot paha, mengelakkan ia mengecil dan lemah. Fisioterapi juga membantu menguatkan pergerakan sendi lutut," katanya.

Dr Ezlan berkata, tanpa pembedahan, seseorang itu masih boleh menjalani kehidupan harian tetapi tidak boleh bersukan dan aktif seperti dulu. Kecederaan pada ACL juga menyebabkan mereka perlu berhati-hati ketika kegiatan bersukan atau bersenam.

Aktiviti sukan lasak seperti sepak takraw, bola sepak, bola tampar atau aktiviti yang memerlukan seseorang itu memusingkan badan, melakukan lompatan dan membuat larian memintas juga perlu dielakkan.

"Jika seseorang itu ingin terus giat bersukan, pembedahan gantian ligamen ACL perlu dipertimbangkan supaya lutut kembali stabil dan tidak terpelecuk," katanya.

Ini kerana, selepas beberapa tahun kekerapan lutut terpelecuk menyebabkan ia membengkak dan kesakitan menjadi kronik. Ia menyebabkan pesakit tidak dapat lagi berjalan jauh, berdiri lama, menaiki tangga atau mengerjakan solat dalam keadaan yang normal. Lutut semakin terjejas jika berat badan juga meningkat.

Jika lutut semakin tidak stabil dan menjejaskan aktiviti harian, doktor akan menyarankan anda menjalani pembedahan pembinaan semula ACL.

Bolehkah ligamen ACL yang tercedera atau putus sembuh dengan sendirinya?

Struktur ligamen ACL terkoyak dan terputus menyebabkan pendarahan di dalam lutut. Keadaan ini mendatangkan rasa sakit dan bengkak. Lutut yang bengkak dipenuhi darah.

Berbeza dengan kecederaan ligamen lain, ligamen ACL yang koyak dan terputus tidak berupaya untuk sembuh sendiri. Tanpa ACL, lutut akan mudah terkehel atau terpelecuk dengan sendiri. Jadi, anda mungkin akan terjatuh dengan tiba-tiba kerana hilang kestabilan.

Simptom kecederaan ACL

Simptom awal

  • Bunyi 'pop' ketika kecederaan terjadi
  • Lutut bengkak dalam tempoh enam jam sebaik saja kecederaan terjadi
  • Rasa sakit


Simptom akhir
  • Arthritis
  • Sendi lutut tidak stabil


INFO: Rawatan yang boleh dilakukan di tempat kejadian
  • REST - merehatkan sendi
  • ICE - meletakkan ais pada sendi untuk mengurangkan sakit dan bengkak
  • COMPRESSION - menggunakan balutan
  • Elevation - meluruskan lutut supaya tidak diletakkan di paras lantai

0 comments: